Firman Allah SWT, bermaksud "Jika kamu menolong (agama) Allah,  nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu" (Surah Muhammad,  ayat 7)
Gunakan seluruh pancaindera
Jodoh  adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh Allah yang maha Esa. Tetapi  bagaimana kita mengetahui dia memang ditakdirkan untuk kita? Allah SWT  mengurniakan manusia telinga untuk mendengar, mata untuk melihat dan aka  untuk berfikir. Jadi gunakan sebaik-baiknya bagi mengungkapkan rahsia  cinta yang ditakdirkan. Dua manusia yang rasa mereka dapat hidup bersama  dan memang dijodohkan pasti memiliki ikatan emosi , spiritual dan  fizikal antara keduanya. Apabila bersama, masing-masing dapat merasai  kemanisan cinta dan saling memerlukan antara satu sama lain. Lalu gerak  hati mengatakan, dialah insan yang ditakdirkan untuk bersama. Benarkah  ia seperti yang diperkatakan?
Berikut adalah 10 petanda yang menunjukkan dia adalah jodoh kita.
1.Bersahaja
Kekasih  kita itu bersikap bersahaja dan tidak berlakon. Cuba perhatikan cara  dia berpakaian, cara percakapan, cara ketawa serta cara makan dan minum.  Adakah ia spontan dan tidak dikawal ataupun kelihatan pelik. Kalau ia  nampak kurang selesa dengan gayanya, sah dia sedang berlakon.  Kadang-kadang, kita dapat mengesan yang dia sedang berlakon. Tetapi,  apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat, maka dia adalah  calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak, dia mungkin bukan jodoh kita.
2.Senang bersama
Walaupun  kita selalu bersamanya, tidak ada sedikit pun perasaan bosan, jemu  ataupun tertekan pada diri kita. Semakin hari semakin sayang kepadanya.  Kita sentiasa tenang, gembira dan dia menjadi pengubat kedukaan kita.  Dia juga merasainya. Rasa senang sekali apabila bersama. Apabila  berjauhan, terasa sedikit tekanan dan rasa ingin berjumpa dengannya.  Tidak kira siang ataupun malam, ketiadaannya terasa sedikit kehilangan.
3.Terima kita seadanya
Apapun  kisah silam yang pernah kita lakukan, dia tidak ambil peduli. Mungkin  dia tahu perpisahan dengan bekas kekasihnya sebelum ini kita yang  mulakan. Dia juga tidak mengambil kisah siapa kita sebelum ini. Yang  penting, siapa kita sekarang. Biarpun dia tahu yang kita pernah  mempunyai kekasih sebelumnya, dia tidak ambil hati langsung. Yang dia  tahu, kita adalah miliknya kini. Dia juga sedia berkongsi kisah  silamnya. Tidak perlu menyimpan rahsia apabila dia sudah bersedia  menjadi pasangan hidup kita.
4.Sentiasa jujur
Dia  tidak kisah apa yang kita lakukan asalkan tidak menyalahi hukum hakam  agama. Sikap jujur yang dipamerkan menarik hati kita. Kejujuran bukan  perkara yang boleh dilakonkan. Kita dapat mengesyaki sesuatu apabila dia  menipu kita. Selagi kejujuran bertakhta di hatinya, kebahagiaan menjadi  milik kita. Apabila berjauhan, kejujuran menjadi faktor paling penting  bagi suatu hubungan. Apabila dia tidak jujur, sukar baginya mengelak  daripada berlaku curang kepada kita. Apabila dia jujur, semakin hangat  lagi hubungan cinta kita. Kejujuran yang disulami dengan kesetiaan  membuahkan percintaan yang sejati. Jadi, dialah sebaik-baik pilihan.
5.Percaya Mempercayai
Setiap  orang mempunyai rahsia tersendiri. Adakalanya rahsia ini perlu dikongsi  supaya dapat mengurangkan beban yang ditanggung. Apabila kita mempunyai  rahsia dan ingin memberitahu kekasih, adakah rahsia kita selamat di  tangannya? Bagi mereka yang berjodoh, sifat saling percaya mempercayai  antara satu sama lain timbul dari dalam hati nurani mereka. Mereka rasa  selamat apabila memberitahu rahsia-rahsia kepada kekasihnya berbanding  rakan-rakan yang lain. Satu lagi, kita tidak berahsia apa pun kepadanya  dan kita pasti rahsia kita selamat. Bukti cinta sejati adalah melalui  kepercayaan dan kejujuran. Bahagialah individu yang memperoleh  kedua-duanya.
6.Senang Bekerjasama
Bagi  kita yang inginkan hubungan cinta berjaya dan kekal dalam jangka masa  yang panjang, kita dan dia perlu saling bekerjasama melalui hidup ini.  Kita dan kekasih perlu memberi kerjasama melakukan suatu perkara sama  ada perkara remeh ataupun sukar. Segala kerja yang dilakukan perlulah  ikhlas bagi membantu pasangan dan meringankan tugas masing-masing.  Perkara paling penting, kita dan dia dapat melalui semua ini dengan  melakukannya bersama-sama. Kita dan dia juga dapat melakukan semuanya  tanpa memerlukan orang lain dan kita senang melakukannya bersama. Ini  penting kerana ia mempengaruhi kehidupan kita pada masa hadapan. Jika  tiada kerjasama, sukar bagi kita hidup bersamanya. Ini kerana, kita yang  memikul beban tanggungjawab seratus peratus. Bukankah ini menyusahkan?
7.Memahami diri kita
Bagi  pasangan yang berjodoh, dia mestilah memahami diri pasangannya. Semasa  kita sakit dia bawa ke klinik. Semasa kita berduka, dia menjadi  penghibur. Apabila kita mengalami kesusahan, dia menjadi pembantu. Di  kala kita sedang berleter, dia menjadi pendengar. Dia selalu bersama  kita dalam sebarang situasi. Tidak kira kita sedang gembira ataupun  berduka, dia sentiasa ada untuk kita. Dia juga bersedia mengalami pasang  surut dalam percintaan. Kata orang, "lidah sendiri lagikan tergigit",  inikan pula suami isteri'. Pepatah ini juga sesuai bagi pasangan  kekasih. Apabila dia sentiasa bersama kita melalui hidup ini di kala  suka dan duka, di saat senang dan susah, dialah calon yang sesuai  menjadi pasangan hidup kita.
8.Tampilkan kelemahan
Tiada  siapa yang sempurna di dunia ini. Tipulah jika ada orang yang mengaku  dia insan yang sempurna daripada segala sudut. Pasti di kalangan kita  memiliki kelemahan dan keburukan tertentu. Bagi dia yang bersedia  menjadi teman hidup kita, dia tidak terlalu menyimpan rahsia  kelemahannya dan bersedia memberitahu kita. Sudah tentu bukan senang  untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan kekasihnya. Malah,  dia tidak segan mempamerkan keburukannya kepada kita. Misalnya, apabila  dia bangun tidur ataupun sakit dan tidak mandi dua hari, dia tidak  menghalang kita daripada melawatnya.Apabila kita dan dia saling menerima  kelemahan dan sifat buruk masing-masing, memang ditakdirkan kita hidup  bersamanya.
9.Kata hati
Dengarlah  kata hati. Kadangkala, manusia dikurniakan Allah deria keenam yang  dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangannya. Dengan deria batin  ini juga kita dapat saling tahu perasaan masing-masing. Kita dan dia  juga dapat membaca fikiran antara satu sama lain dan dapat menduga  reaksi dan tindakbalas pada situasi tertentu. Apabila kita yakin dengan  pilihan hidup kita, tanyalah sekali lagi. Adakah dia ditakdirkan untuk  kita? Dengarlah kata hati dan buatlah pilihan. Serahlah segalanya pada  ketentuan yang maha berkuasa.
10.Solat Istikharah dan Tawakkal
Jodoh  dan pertemuan semuanya di tangan Allah SWT. Manusia hanya perancang di  pentas dunia ini dan skripnya ditulis oleh yang maha esa. Adakalanya,  dalam memainkan peranan sebagai pelakon, diberi petunjuk melalui mimpi  atau gerak hati. Mimpi memang mainan tidur, tetapi apabila kita  melakukan sembahyang Istikharah dan memohon supaya Allah memberikan  petunjuk, insya-Allah dengan izinnya kita mendapat petunjukNya. Jika dia  pilihan kita, buatlah keputusan sebaiknya. Jika tidak, tolaklah dia  dengan baik. Semua yang kita lakukan ini adalah bagi mendapatkan  kebahagiaan hidup di dunia. Setelah semuanya diusahakan, berserahlah  kepadaNya dan terus berdoa. Ingatlah, nikmat di dunia ini hanya  sementara.Nikmat di akhirat adalah kekal selamanya